10 suspek kes tembak Komander AKPS Bukit Kayu Hitam ditahan

2 Mac 2026, 1:42 PM
10 suspek kes tembak Komander AKPS Bukit Kayu Hitam ditahan

ALOR SETAR, 2 MAC: Polis menahan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung kes tembak kenderaan dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, minggu lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata kesemua suspek termasuk seorang wanita warga Thailand, dipercayai mempunyai kaitan dengan “Geng Pak Su”, ditahan pada 25 hingga 28 Februari lepas di beberapa lokasi sekitar daerah Kubang Pasu.

Beliau berkata tangkapan itu melibatkan tiga lelaki tempatan oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, dengan kerjasama D9 Bukit Aman, hasil daripada tiga serbuan susulan, Sabtu lepas.

"D9 JSJ Kedah dengan kerjasama D9 Bukit Aman telah melaksanakan tiga serbuan susulan dan berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan berusia 44 hingga 58 tahun.

"Saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif methamphetamine dan polis turut merampas tiga telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata semakan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan berkaitan kes itu kini sebanyak 10 orang, termasuk tujuh suspek yang ditahan dalam tempoh 24 jam pertama kejadian.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan termasuk mengesan senjata digunakan dua suspek lelaki bermotosikal yang cuba menembak SAC Mohd Nasaruddin M Nasir.

Dalam kejadian 5.40 pagi, 25 Februari lepas, kereta Proton X70 dipandu Mohd Nasaruddin ditembak di susur ke Masjid Al Muhajirin di Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Suspek yang menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619