SHAH ALAM, 18 MAC: Orang ramai, khususnya masyarakat Telugu dijemput memeriahkan sambutan Tahun Baharu Telugu (Ugadi) peringkat Selangor yang akan berlangsung esok.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata sambutan itu dijadual diadakan di Kuil Sri Maha Mariamman, Kota Kemuning pada jam 7.30 malam.
Menurutnya, program berkenaan dijangka menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana penuh harmoni dan muhibah.
“Perayaan ini mencerminkan kekayaan budaya yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Papparaidu turut berharap sambutan tersebut dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai latar belakang di Selangor.
Ugadi merupakan perayaan penting bagi masyarakat Telugu yang diraikan sebagai simbol permulaan baharu serta peluang memperbaharui azam ke arah kehidupan yang lebih baik.








