Aidilfitri: 20 skrin LED PBT di Selangor siar mesej keselamatan jalan raya

17 Mac 2026, 1:10 AM
Aidilfitri: 20 skrin LED PBT di Selangor siar mesej keselamatan jalan raya

SHAH ALAM, 17 MAC: Hebahan keselamatan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri akan dipaparkan di 20 skrin LED milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa kawasan perbandaran di Selangor bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.

Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor Datuk Mohd Yazid Sairi berkata paparan mesej keselamatan yang dibekalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu disiarkan secara berkala antaranya di Petaling Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat.

Beliau berkata inisiatif dengan kerjasama PBT itu bertujuan menyampaikan peringatan keselamatan kepada orang ramai secara lebih meluas, khususnya ketika peningkatan pergerakan trafik sempena Aidilfitri.

“Di Selangor, pihak PBT mempunyai skrin LED untuk tujuan promosi dan pemakluman kepada orang ramai, jadi kita ambil peluang untuk paparkan pesanan mengenai keselamatan jalan raya di kawasan perbandaran masing-masing.

“Paparan berbentuk pesanan yang dibekalkan JPJ itu akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan dan dipaparkan secara berkala mengikut kitaran yang ditetapkan oleh pihak PBT,” katanya dalam sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 di Terminal Bas Seksyen 17, di sini malam tadi.

Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata pihaknya turut melaksanakan pemeriksaan berkala terhadap bas di depoh dan terminal bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum perjalanan.

Menurutnya, tahap kesedaran penumpang terhadap pemakaian tali pinggang keselamatan juga semakin baik, dengan pemandu bas memberi peringatan sebelum perjalanan bermula selain pemantauan melalui penyamaran anggota JPJ di dalam bas.

Berkuat kuasa 1 Julai 2025, JPJ mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran dan boleh disaman RM300 jika gagal berbuat demikian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619