Rakyat Malaysia dinasihat tangguh ke Thailand hingga isu bekalan petrol, diesel selesai

18 Mac 2026, 7:31 AM
Rakyat Malaysia dinasihat tangguh ke Thailand hingga isu bekalan petrol, diesel selesai

SHAH ALAM, 18 MAC: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan sementara perjalanan ke Thailand susulan isu kekurangan bekalan petrol dan diesel di negara itu sejak dua hari lalu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata nasihat itu khusus kepada mereka yang merancang berkunjung ke selatan Thailand sempena cuti panjang Aidilfitri minggu ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, mereka yang bercadang memandu ke destinasi popular seperti Hat Yai dan Songkhla disaran menangguhkan perjalanan jika tiada urusan penting.

"Jika tiada keperluan mendesak, sebaiknya tangguhkan perjalanan buat sementara. Jika terpaksa juga ke sana, rancang perjalanan dengan teliti," katanya.

Jelas beliau, setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia terkandas akibat isu berkenaan.

Ahmad Fahmi menjelaskan, keadaan itu bukan berpunca daripada kekurangan bekalan minyak, sebaliknya disebabkan pembelian panik dalam kalangan rakyat Thailand susulan krisis di Asia Barat.

"Ini menyebabkan banyak stesen minyak kehabisan bekalan, selain berlaku kesesakan panjang di hampir semua stesen minyak termasuk di selatan Thailand," katanya turut menasihatkan rakyat Malaysia mengelak ke Thailand sehingga bekalan minyak kembali stabil.

Katanya, pengusaha stesen minyak di negara itu turut mengambil langkah termasuk mengehadkan pembelian kepada 500 baht bagi setiap transaksi untuk kenderaan dan 80 baht bagi motosikal.

Kerajaan Thailand juga telah mengambil langkah sewajarnya dan memberi jaminan bahawa bekalan minyak negara itu mencukupi untuk kegunaan domestik.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), Aida Oujeh, berkata kerajaan Thailand mengumumkan gangguan bekalan minyak dijangka berlaku selama kira-kira 10 hari bermula 16 Mac.

"Isu ini bukan sahaja menjejaskan rakyat Malaysia, malah turut memberi kesan kepada rakyat Thailand. Banyak stesen minyak yang ditutup sementara kerana habis bekalan," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin ke negara jiran berkenaan supaya mengisi penuh tangki kenderaan sebelum memasuki negara itu atau boleh mengisi minyak di stesen minyak di Thailand pada waktu pagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619