Pengawal keselamatan cedera ketika bergelut dengan perompak

16 Mac 2026, 4:00 PM
Pengawal keselamatan cedera ketika bergelut dengan perompak

SHAH ALAM, 16 MAC: Pengawal keselamatan yang bergelut dengan suspek ketika cuba mematahkan cubaan merompak sebuah kedai emas di Seksyen 14, Petaling Jaya, turut mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit cuba menghalang suspek yang bersenjatakan pisau.

"Suspek seorang lelaki tempatan cuba merompak barangan kemas namun gagal melarikan diri selepas bergelut dengan pengawal keselamatan terbabit.

"Suspek yang bergerak secara berseorangan cedera akibat tembakan dilepaskan pengawal keselamatan itu sebelum disahkan maut pada 11.53 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, suspek dan pengawal keselamatan itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dirawat sebelum suspek disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Shamsudin berkata proses bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengenal pasti punca kematian untuk melengkapkan siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan bersenjata dan Seksyen 39 Akta Senjata.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 0379662222 atau Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Zairi Zakaria, 013 841391124," katanya.

Media hari ini melaporkan seorang perompak maut selepas mengalami parah akibat ditembak pengawal keselamatan di sebuah kedai emas di Petaling Jaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619