AGENDA

Rakyat Malaysia rompak kedai emas di Thailand miliki 10 rekod lampau

14 Apr 2025, 7:05 AM
Rakyat Malaysia rompak kedai emas di Thailand miliki 10 rekod lampau

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Seorang rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas di negara itu, Rabu lepas, disahkan memiliki 10 rekod jenayah lampau, termasuk dikehendaki atas dua kes jenayah berat di Malaysia.

Lelaki berusia 62 tahun itu turut disahkan mempunyai dua rekod dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kes bunuh dan satu lagi kes di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kertas siasatan membabitkan lelaki itu sedang disemak sebelum proses ektradisi dilakukan, dan siasatan berhubung kesalahan dilakukannya di Thailand, diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu.

"Penahanan lelaki itu telah dimaklumkan sebaik sahaja dia ditahan di Bangkok, Thailand atas kesalahan samun bersenjata di Hat Yai.

"Lelaki tersebut masih berada di lokap Hatyai untuk siasatan dan kami akan meneliti lanjut kesalahan yang dilakukannya di negara ini bagi tindakan ekstradisi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Razarudin berkata semakan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak tinggal di Malaysia dan turut dikesan menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di Thailand.

Beliau berkata ketika tangkapan dibuat pihak berkuasa Thailand, lelaki itu dikesan memiliki kad pengenalan Thailand disyaki palsu serta tiada MyKad atau pasport negara ini.

Pada 9 April lepas, polis Thailand mengesahkan seorang lelaki warga emas ditahan di daerah Nonthaburi, Bangkok, Thailand selepas disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Hat Yai, Thailand.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619