SHAH ALAM, 18 MAC: Kes rompakan kedai emas di Petaling Jaya yang membabitkan kematian suspek dianggap selesai.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kes berkenaan dianggap selesai kerana suspek sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan pengawal keselamatan yang melepaskan tembakan ketika pergelutan dengan suspek dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.
"Keterangan pengawal keselamatan itu sudah diambil dan kita juga sudah merakam keterangan beberapa individu lain berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini lapor Harian Metro.
Beliau berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Semalam media melaporkan, suspek yang maut ditembak ketika cubaan merompak sebuah kedai emas dipercayai melakukan perbuatan itu secara bersendirian.
Shamsudin dilaporkan berkata, semakan lanjut terhadap lelaki warga tempatan itu juga mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki maut selepas ditembak pengawal keselamatan ketika cuba menyamun sebuah kedai emas dalam kejadian jam 10.59 pagi.
Suspek yang bersenjatakan pisau dipercayai cuba merompak barangan kemas di premis berkenaan namun gagal melarikan diri selepas berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan.
Suspek cedera akibat tembakan yang dilepaskan oleh pengawal keselamatan ketika pergelutan dan pengawal keselamatan itu juga turut cedera.
Kedua-dua individu itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut, bagaimanapun suspek disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada 11.53 pagi.







