SUBANG JAYA, 16 MAC: Inisiatif Kerajaan Selangor melalui pemberian Baucar Jom Shopping bernilai RM200 membantu penerima dalam mengurangkan beban perbelanjaan, khususnya bagi pembelian barangan keperluan sempena sambutan Aidilfitri minggu depan.
Pekerja swasta, Muhamad Iqmal Zakariah, 28, berkongsi baucar tersebut membolehkannya membeli barangan keperluan tanpa perlu menggunakan wang sendiri.
Menurutnya, bantuan itu turut dimanfaatkan untuk membantu ibu bapanya membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Saya gunakan baucar ini untuk membeli barang keperluan raya bagi membantu ibu bapa membuat persiapan. Ia sangat membantu kerana tidak perlu menggunakan duit sendiri,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau merupakan salah seorang daripada 800 penerima baucar tersebut bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Pasar Raya NSK 3 Elements, Seri Kembangan, hari ini.
Bagi Muhamad Arif Md Arifin, 34, baucar tersebut membantu beliau menjimatkan perbelanjaan keperluan harian untuk tempoh sebulan.
Katanya, penjimatan itu membolehkannya menyimpan wang untuk menyediakan keperluan lain bagi keluarganya.

“Saya hargai keprihatinan Kerajaan Negeri melalui pemberian baucar ini kerana ia membantu rakyat mengurus perbelanjaan,” ujarnya.
Terdahulu, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu Veraman memaklumkan 38,400 baucar Program Jom Shopping Perayaan Hari Raya Aidilfitri akan diagihkan kepada penerima layak tahun ini, membabitkan peruntukan RM7.68 juta.
Beliau berkata pengagihan baucar tersebut melibatkan 56 DUN di seluruh Selangor bagi membantu golongan sasar membuat persiapan menjelang perayaan.
Menurutnya, tempoh penggunaan baucar turut dilanjutkan sehingga 20 Mac, berbanding tarikh asal 18 Mac, bagi memberi ruang kepada masyarakat Islam membuat persiapan dan berbelanja menjelang hari raya.











