KLANG, 18 MAC: Sebanyak 14 masjid dan surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran, di sini menerima sumbangan Ramadan masing-masing berjumlah RM2,000.
Menurut wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee, bantuan dengan peruntukan RM28,000 itu bagi program pengimarahan sepanjang bulan puasa seperti acara kacau bubur lambuk.
"Mereka juga boleh guna duit itu dengan memberi bantuan kepada asnaf yang ingin meraikan Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis berbuka puasa dan sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Klang di sini, semalam. Turut hadir Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau.
Masjid yang menerima bantuan tersebut ialah Masjid India Muslim Tengku Kelana, Masjid Al-Mansuriah, Masjid Nurul Iman Telok Gadong dan Masjid Jamek Samadiah.
Manakala surau pula termasuklah Surau Al-Falah Walfaizin, Surau Al-Ikhwan Bayu Villa Condo, Surau Al-Firdaus Kampung Atap, Surau Darul Taqwa dan Surau Baitul Ukhrawi.
Selain itu, Surau Al-Hijrah, Surau Darul Muhibbah, Surau Kuarters Kastam Pelabuhan Klang, Surau KTMB Jalan Kastam dan Surau Al-Syifa HTAR.

Dalam perkembangan lain, Tony berkata pihaknya turut menyumbang baucar Program Jom Shopping Aidilfitri bernilai RM200 kepada 500 individu di DUN terbabit.
Katanya, pemberian baucar dengan peruntukan RM100,000 itu diserahkan kepada penerima di Pasar Raya Giant Bukit Tinggi, di sini pada 15 Mac lalu.
"Suasana sangat meriah dan penerima sangat gembira, kita mahu bagi pada semua orang kerana matlamat Kerajaan Negeri adalah berharap semua rakyat boleh dapat bantuan," katanya.








