KPM segerakan pemasangan CCTV di 333 sekolah asrama tahun ini

14 Mac 2026, 2:56 PM
KPM segerakan pemasangan CCTV di 333 sekolah asrama tahun ini

KOTA BHARU, 14 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyegerakan proses pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) fasa kedua melibatkan 333 sekolah asrama di bawah kementerian itu tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan daripada fasa pertama pada 2025, dengan pemasangan CCTV telah selesai dilaksanakan di 200 sekolah asrama KPM.

Beliau berkata pelaksanaan fasa kedua kini di peringkat teknikal berikutan pemasangan peranti keselamatan itu tidak boleh dilakukan secara semberono, sebaliknya perlu mematuhi akta berkaitan privasi.

"Di peringkat teknikal ini, kita (KPM) sedang mendapatkan pandangan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan pihak lain bagi memastikan hak dan privasi kanak-kanak sentiasa terpelihara.

"KPM turut bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya bagi mendapatkan khidmat nasihat dari sudut teknikal berhubung tatacara pemasangan CCTV berkenaan di premis sekolah," katanya kepada pemberita selepas program Jaulah Ramadan Perdana Tahun 2026 KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini malam ini.

Mohd Azam berkata walaupun terdapat pelbagai penelitian teknikal dan undang-undang, pihak kementerian memberi jaminan bahawa pemasangan untuk 333 sekolah asrama tahun ini akan disegerakan.

Sebelum ini, Mohd Azam dilaporkan berkata 200 sekolah berasrama di bawah KPM di seluruh negara akan dilengkapi CCTV dalam masa terdekat dengan peruntukan RM3 juta bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar di sekolah khususnya di asrama.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619