Buang sampah haram sempena perayaan, wanita didenda RM1,000

14 Feb 2026, 9:00 AM
Buang sampah haram sempena perayaan, wanita didenda RM1,000

SHAH ALAM, 14 FEB: Tindakan seorang wanita membuang sampah secara haram ketika membersihkan rumah sempena musim perayaan mengundang padah apabila dia dikenakan kompaun RM1,000 oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Antara barangan yang dibuang termasuk tanglung merah, papan pemotong kayu dan peralatan dapur kira-kira 140 meter dari rumahnya di tepi jalan berhampiran Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Persekitaran mengesan pesalah selepas gambar longgokan sampah itu tular di media sosial.

"Pegawai mengesahkan ketulenan gambar berkenaan melalui lawatan ke lokasi.

"Mereka juga berjaya mengenal pasti pesalah yang kemudiannya mengaku membuang barangan tersebut secara haram," katanya seperti dilapor The Star.

Wanita itu dikenakan kompaun tanpa rundingan mengikut Undang-Undang Kecil Pengumpulan, Pelupusan dan Pengurusan Sisa dan diberi tempoh dua minggu untuk menjelaskan denda sebelum tindakan mahkamah diambil.

"Kami berharap denda ini menjadi pengajaran bahawa pelanggaran tanggungjawab sivik tidak akan dikompromi.

"Petugas pembersihan daripada KDEB Waste Management (KDEBWM) turut berdepan pembuangan barangan besar seperti perabot lama, rak kasut dan peralatan elektrik di sudut-sudut jalan terutama ketika musim perayaan," katanya.

Beliau berkata, petugas terpaksa bekerja lebih masa untuk membersihkan sisa pukal tersebut serta memastikan orang ramai tidak membakar perabot kayu rosak dan tilam lama.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Alam Sekitar MBDK, Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata pemantauan akan dipertingkat melalui pemasangan 500 kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengekang aktiviti pembuangan sampah haram.

"Rakaman CCTV boleh membantu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

"Kami menghargai kerjasama penduduk yang memaklumkan kepada kami mengenai pembuangan sampah haram di kawasan masing-masing," katanya.

Menurutnya, kebanyakan sisa pukal sering dibuang di jalan sunyi, lorong belakang dan kawasan terpencil.

"Di bawah Kempen Kebersihan Klang 2026, MBDK akan bertindak tegas membanteras pembuangan sampah haram dan akan mengenakan hukuman maksimum," katanya.

Sepanjang 2025, MBDK mengeluarkan 206 kompaun membabitkan kesalahan di bawah undang-undang kecil pengurusan sisa dengan anggaran nilai RM207,850.

Bulan lalu sahaja, sebanyak 15 kompaun berjumlah RM15,000 dikeluarkan atas kesalahan pembuangan sampah haram.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619