Tapak sampah haram Sungai Tangkas terbakar lagi, wayar CCTV dipotong

30 Jan 2026, 5:44 AM
Tapak sampah haram Sungai Tangkas terbakar lagi, wayar CCTV dipotong

SHAH ALAM, 30 JAN: Kebakaran di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Cemerlang, Sungai Tangkas, Kajang berlaku sekali lagi, dengan kejadian terbaharu turut melibatkan wayar kamera litar tertutup (CCTV) yang dipotong pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Penguasa Bomba II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi, Khairuddin Jamaluddin berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pencari sampah yang membakar sisa bagi mendapatkan tembaga dan wayar, selain dipengaruhi cuaca panas dan ketiadaan hujan hampir dua minggu.

Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Cemerlang, Sungai Tangkas, Kajang. Foto Ihsan Bomba

“Kebakaran melibatkan tapak pembuangan sampah haram di kawasan lereng yang mempunyai anak sungai di bahagian bawah dengan tahap kebakaran dianggarkan mencecah 80 peratus, membabitkan sisa domestik serta sisa binaan.

"Operasi pemadaman kebakaran mengambil masa selama tiga hari dengan kekuatan seramai 16 anggota, sebelum kerja pemadaman berjaya diselesaikan sepenuhnya pada 28 Januari lalu,” katanya kepada Media Selangor.

Keadaan sekitar tapak sampah haram di Sungai Tangkas, Kajang pada 26 Jun 2025. Foto Facebook

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menerusi Facebooknya memaklumkan tapak pembuangan sampah haram di Sungai Tangkas terbakar pada 26 Januari lalu selepas beberapa bulan tidak terjadi.

Katanya, pemasangan CCTV turut diletakkan di kawasan berkenaan untuk memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan namun, pada hari kejadian tidak menemukan sebarang bukti susulan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang merosakkan alatan itu.

Pada 27 Jun tahu lalu, Media Selangor melaporkan masalah tapak sampah haram dan pembakaran terbuka di sekitar Sungai Tangkas, terus berulang.

Syahredzan berkata isu yang berlarutan sejak sekian lama itu memerlukan penyelesaian yang menyeluruh dan mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup bagi membantu pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

Dato'Menteri Besar Dato'Seri Amirudin Shari meyampaikan Amanat Tahun Baharu di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 baru-baru ini, Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk membanteras tapak pembuangan sampah haram, termasuk turun padang sendiri ke lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas.

Beliau turut memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol, selain mengarahkan KDEB Waste Management memperkukuh kerjasama bersama semua pihak berkuasa tempatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619