Pusat data Google dijangka jana impak ekonomi lebih RM12 bilion, wujudkan 26,500 pekerjaan

26 Feb 2026, 12:05 PM
Pusat data Google dijangka jana impak ekonomi lebih RM12 bilion, wujudkan 26,500 pekerjaan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Pelaburan Google sebanyak US$2 bilion (US$1 = RM3.90) di Malaysia menunjukkan kemajuan yang pesat dan melebihi jangkaan awal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata demikian dalam catatan di laman Facebook selepas mengadakan sidang video bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat serta pasukannya pagi ini.

“Saya memberi jaminan kepada mereka bahawa kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara dan menyokong pelaburan yang telah diumumkan oleh syarikat teknologi multinasional itu,” kata beliau.

Beliau berkata perbincangan itu tertumpu pada kemajuan pelaburan Google sebanyak US$2 bilion di Malaysia, yang telah diumumkan pada Mei 2024.

Anwar berkata pelaburan itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital Malaysia dan sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan negara sebagai hab serantau untuk aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).

“Pelaburan ini meliputi pembangunan dan operasi pusat data dan infrastruktur perkhidmatan awan pertama Google di Malaysia.

“Apabila beroperasi, ia dijangka menjana impak ekonomi sebanyak US$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030,” kata beliau.

Pada 2024, Google mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM9.4 bilion di Malaysia merangkumi pembangunan pusat data pertamanya dan wilayah Google Cloud untuk memenuhi permintaan meningkat terhadap perkhidmatan awan pada peringkat tempatan dan global serta program literasi AI untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

-- BERNAMA

TAG: Google, pelaburan, Anwar Ibrahim, pusat data, Ruth Porat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619