AGENDA

Selangor, Google bekerjasama laksana inovasi AI, integrasi sistem pentadbiran

15 Nov 2024, 8:54 AM
Selangor, Google bekerjasama laksana inovasi AI, integrasi sistem pentadbiran

SHAH ALAM, 15 NOV : Selangor bakal bekerjasama dengan Google bagi membangunkan Program AI Trailblazer Google yang membawa konsep penyelesaian industri dan pentadbiran semasa.

Dato’ Menteri Besar berkata program mengikut konsep “Sandbox” selama lapan minggu akan disertai 50 peserta mewakili sektor utama pentadbiran dan perindustrian Selangor.

“Program perintis ini merupakan inisiatif khusus kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam konteks aplikasi teknologi berkenaan dalam sistem pentadbiran, pengurusan kewangan, pengurusan perniagaan dan turut memberi penekanan kepada integrasi sistem sedia ada.

“Inisiatif yang diperkenalkan oleh Google seumpama projek rintis yang dilaksanakan dengan kerajaan Singapura untuk mempromosikan inovasi AI generatif dalam sektor perniagaan dan awam di negara tersebut,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ketika membentang belanjawan negeri, beliau memaklumkan di Selangor, inisiatif itu melibatkan akses kepada kemudahan AI Google Cloud, seperti GPU berprestasi tinggi dan platform Vertex AI, dan pembangunan produk-produk berasaskan AI dilaksanakan melalui konsep “Innovation Sand Box Facilities”.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama yang bakal dijalinkan bersama Google Cloud Malaysia bakal menerokai bidang aplikasi AI menerusi pelbagai inisiatif kerajaan,” jelasnya lagi.

Pada 1 Oktober lalu, majlis pecah tanah pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia dilaksana, pembinaan membabitkan pelaburan sebanyak AS$2 bilion (RM8.29 bilion) di Elmina Business Park, Selangor.

Ia dijangka membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi AI, serta produk dan perkhidmatan digital lain yang digunakan oleh rakyat dan organisasi di Malaysia pada setiap hari.

Pelaburan itu dianggarkan dapat menyumbang lebih daripada AS$3.2 bilion (RM13.27 bilion) kepada ekonomi Malaysia dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619