Polis, SKMM siasat pemilik akaun sebar video palsu AI Agong

26 Feb 2026, 6:05 AM
Polis, SKMM siasat pemilik akaun sebar video palsu AI Agong

JOHOR BAHRU, 26 FEB: Polis Johor bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengenal pasti pemilik akaun yang memuat naik video palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan imej Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata laporan diterima pada 25 Feb selepas seorang pengadu menonton kandungan berkenaan di TikTok.

Video itu kononnya memaparkan Seri Paduka Baginda mengumumkan pemberian bantuan kewangan, dengan niat memperdaya orang ramai.

“Siasatan awal mendapati profil TikTok terbabit dipercayai palsu dan diwujudkan khusus untuk memuat naik kandungan AI bagi memperdaya masyarakat serta mencemarkan imej institusi diraja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ab Rahaman menambah, mungkin wujud akaun lain menggunakan modus operandi sama terhadap individu atau personaliti berprofil tinggi bagi meningkatkan kredibiliti kandungan palsu.

“Mana-mana pihak yang menyebarkan video berkenaan boleh disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, tiada mangsa dikenal pasti dan tiada kerugian kewangan dilaporkan. Kandungan berkenaan telah diturunkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan imej atau video mencurigakan, sebaliknya merujuk maklumat melalui saluran rasmi Istana dan kerajaan negeri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan polis.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619