SKMM gesa kemas kini iOS segera susulan risiko keselamatan

19 Mac 2026, 2:02 PM
SKMM gesa kemas kini iOS segera susulan risiko keselamatan
SKMM gesa kemas kini iOS segera susulan risiko keselamatan

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa pengguna Apple supaya segera mengemas kini peranti iOS mereka susulan penemuan pelbagai kelemahan keselamatan.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Apple telah mengeluarkan kemas kini keselamatan penting yang menangani kelemahan termasuk rantaian eksploit yang dikenali sebagai “DarkSword” yang menjejaskan peranti iOS, khususnya iPhone Apple.

Kenyataan itu memaklumkan kelemahan berkenaan boleh dieksploitasi secara serentak untuk menjejaskan peranti yang terlibat, sekali gus berpotensi membolehkan akses tanpa kebenaran dan aktiviti berniat jahat lain.

“Sehubungan dengan itu, pengguna dinasihatkan supaya mengemas kini peranti mereka kepada versi iOS terkini bagi memastikan ia kekal dilindungi,” menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan peranti yang tidak dikemas kini mungkin terdedah kepada risiko keselamatan, termasuk akses tanpa kebenaran kepada data peranti dan maklumat peribadi, pemasangan perisian pengintip atau perisian hasad, kecurian mesej, fail atau data sensitif lain serta kemungkinan pemantauan atau pengawasan terhadap peranti.

Suruhanjaya itu turut menasihatkan pengguna supaya mengaktifkan kemas kini automatik, mengelakkan melayari laman web mencurigakan, hanya memasang aplikasi daripada Apple App Store rasmi serta memulakan semula peranti selepas kemas kini dan sentiasa peka terhadap sebarang tindakan luar biasa.

SKMM memaklumkan orang ramai perlu mengamalkan tabiat digital selamat dan hanya bergantung kepada maklumat daripada sumber rasmi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619