SKMM, telco perkukuh rangkaian pastikan sambutan Aidilfitri lancar

19 Mac 2026, 4:53 AM
SKMM, telco perkukuh rangkaian pastikan sambutan Aidilfitri lancar

PUTRAJAYA, 19 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama-sama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) mengambil langkah proaktif memperkukuh rangkaian komunikasi di seluruh negara bersempena dengan sambutan Aidilfitri 2026.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu bertujuan memastikan orang ramai terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan stabil termasuk membuat panggilan, menghantar mesej, melayari Internet serta berhubung melalui video, khususnya ketika pulang ke kampung.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksana sejak awal Mac oleh telco bagi menampung peningkatan trafik komunikasi sepanjang musim perayaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 774 inisiatif melibatkan kerja pengoptimuman rangkaian bagi meningkatkan kualiti liputan dan kapasiti diikuti 27 inisiatif pengaktifan serta modenisasi rangkaian 5G, 21 inisiatif penyediaan penyelesaian sementara seperti Portable Base Transceiver Station dan Cellular on Wheel selain kerja naik taraf rangkaian dan perkongsian infrastruktur antara pengendali.

Langkah itu memberi tumpuan kepada lokasi berisiko tinggi mengalami kesesakan rangkaian seperti lebuh raya utama, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah, destinasi pelancongan serta tempat tumpuan orang ramai.

Dalam pada itu, semua telco diarah memantau prestasi rangkaian secara berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan.

SKMM turut memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat negeri termasuk melaksanakan pemantauan lapangan secara responsif di lokasi kritikal.

Orang ramai yang berdepan masalah rangkaian disaran menghubungi telco masing-masing atau menyalurkan aduan melalui portal rasmi SKMM bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera.

SKMM menegaskan komitmennya untuk memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan selamat khususnya pada waktu penting seperti Aidilfitri ketika orang ramai pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama dengan keluarga.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619