Terperdaya skim pelaburan palsu di media sosial, mangsa rugi lebih RM600,000

19 Feb 2026, 1:53 AM
Terperdaya skim pelaburan palsu di media sosial, mangsa rugi lebih RM600,000

KUANTAN, 19 FEB: Seorang pekerja swasta kerugian lebih RM600,000 akibat terperdaya skim pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan menerusi laman sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki tempatan berusia 57 tahun itu yang tertarik dengan tawaran lumayan skim pelaburan itu dipercayai telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata suspek mengarahkan mangsa memuat turun satu aplikasi pelaburan yang kemudian memaparkan keuntungan kononnya meningkat sehingga mencecah RM1.84 juta termasuk komisen pelaburan.

“Bagaimanapun, apabila mangsa ingin mengeluarkan semula wang pelaburan berserta keuntungan yang dipaparkan, suspek memberi pelbagai alasan dan meminta bayaran tambahan sebelum proses pengeluaran boleh dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa membuat empat transaksi pindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza dari 9 Jan hingga 11 Feb menggunakan simpanan peribadi serta pinjaman ahli keluarga, menyebabkan kerugian keseluruhan berjumlah RM636,123.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.

"Mangsa penipuan juga dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi mendapatkan bantuan segera,” katanya.

-- BERNAMA

TAG: polis, tipu, WhatsApp, NSRC, Yahaya Otman

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619