Kes petrol RON95 disyaki tercemar: KPDN Sarawak buka kertas siasatan

26 Dis 2025, 12:03 PM
Kes petrol RON95 disyaki tercemar: KPDN Sarawak buka kertas siasatan

KUCHING, 26 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, susulan kes tular melibatkan minyak petrol RON95 disyaki bercampur diesel atau air di Stesen Petronas Samarahan Expressway di Kota Samarahan, baru-baru ini.

Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan tular di media sosial, berkaitan insiden berkenaan yang didakwa telah menjejaskan beberapa pengguna.

“Pada 24 Dis lepas kira-kira jam 2.30 petang, sepasukan empat pegawai penguat kuasa KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terbabit, susulan aduan yang diterima daripada laman Facebook Sarawak Roads Update.

“Satu Enquiry Paper (EP) telah dibuka di bawah Seksyen 5 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 201, Pelanggaran Seksyen 6 (1)(d), daripada kandungan berkenaan dengan apa-apa barang-barang atau bahagian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Matthew berkata tindakan pantas telah dibuat oleh KPDN Sarawak dalam mengambil tindakan ke atas stesen minyak yang melanggar peraturan yang ditetapkan agar hak pengguna dapat dilindungi.

Matthew berkata mana-mana peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan akta berkenaan, termasuk denda sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berulang.

“Bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengedar dan peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan sedia ada bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan salah laku aktiviti perniagaan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp di 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619