Kastam Selangor rampas lebih 28 juta rokok seludup diikrar pakaian

15 Dis 2025, 10:25 AM
Kastam Selangor rampas lebih 28 juta rokok seludup diikrar pakaian

PELABUHAN KLANG, 15 DIS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas lebih 28 juta batang rokok putih bernilai jutaan ringgit menerusi dua serbuan berasingan di Zon Bebas Pelabuhan Barat, di sini, pada 29 Oktober dan 4 November lalu.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, rampasan itu melibatkan tiga kontena bersaiz 40 kaki yang diperiksa menerusi Operasi Fortex Trident.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena pertama menemukan 10 juta batang rokok putih yang diikrarkan sebagai pakaian, manakala pemeriksaan ke atas kontena kedua dan ketiga menemui 18.81 juta batang rokok putih.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan 28.81 juta batang rokok putih ini ialah RM3.7 juta, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan RM19.79 juta,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, semua kontena berkenaan berstatus alih muatan (transhipment) dan didapati membuat pengikraran palsu dalam manifes.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan pengikraran tidak benar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, JKDM Selangor turut merampas pelbagai jenis minuman keras bernilai RM807,646 termasuk duti dan cukai menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar Pelabuhan Klang dan Shah Alam.

Mohamad Azhar berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah kedai bebas cukai (KBC) di Pelabuhan Barat yang didapati beroperasi selepas lesen tamat tempoh pada 30 Oktober lalu.

“Hasil pemeriksaan menemukan 1,573.40 liter minuman keras pelbagai jenis yang belum dijelaskan duti dan cukai,” katanya.

Tambah beliau, serbuan turut dijalankan di sebuah gudang zon bebas di Pelabuhan Utara pada 14 Oktober serta 4 November lalu, yang membawa kepada penemuan 2,562 liter minuman keras disimpan dalam 16 palet berkotak kayu.

“Siasatan awal mendapati minuman keras berkenaan mempunyai Permit Import, namun diikrarkan sebagai bangku dan sos salad,” katanya.

Serbuan ketiga pula dilakukan di sebuah premis kedai runcit di Shah Alam yang menemukan 752.11 liter minuman keras.

Kesemua rampasan minuman keras itu disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619