Besi, skrap tanpa lesen bernilai RM7.9 juta dirampas di Pelabuhan Klang

5 Nov 2025, 4:15 AM
Besi, skrap tanpa lesen bernilai RM7.9 juta dirampas di Pelabuhan Klang
Besi, skrap tanpa lesen bernilai RM7.9 juta dirampas di Pelabuhan Klang

PETALING JAYA, 5 NOV: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita 53 kontena berisi dagangan besi dan skrap aluminium bernilai RM7.9 juta, yang diimport tanpa lesen sah dalam operasi bersepadu di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Pengarahnya Wan Norizan Wan Daud berkata Operasi Besiport itu dilaksanakan dari 28 Ogos hingga 5 September lalu, dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan SIRIM Berhad (Sirim) di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, Klang.

“Hasil pemeriksaan rapi di kawasan itu menemukan 35 kontena mengandungi besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan, manakala 18 kontena lagi mengandungi skrap aluminium dan besi.

“Kesemua kontena ini dimiliki oleh syarikat sama,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam WPKL, di sini, hari ini dengan turut dihadiri Pengarah CIDB WPKL Datuk Dr Gerald Sundaraj dan Pengurus Besar Kanan Sektor Pendaftaran dan Akreditasi Suhaimi Mansor.

Beliau berkata jumlah berat keseluruhan dagangan tersebut ialah 956,686 kilogram, dengan nilai sitaan dianggarkan RM7.93 juta, manakala anggaran duti import dan cukai terlibat berjumlah RM1,098,888.

Wan Norizan berkata pengimportan besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan memerlukan Sijil Perakuan (COA) daripada CIDB, manakala pengimportan skrap aluminium dan besi pula memerlukan kelulusan daripada Sirim Berhad.

“Dalam kes ini, pihak terbabit dipercayai membuat ikrar tidak betul, bagi mengelak keperluan lesen import,” katanya sambil menambah bahawa tiada tangkapan dilakukan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, kerana mengimport atau mengeksport apa-apa barang tak berkastam atau larangan import.

Sementara itu, Suhaimi berkata pengimportan besi bagi tujuan industri yang tiada kelulusan CIDB memberi risiko dari segi kualiti dan keselamatan.

“Kualiti dibimbangi berada di bawah standard dibenarkan dan hal itu boleh membahayakan orang awam,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619