Selangor peruntuk RM1 juta tubuh MIHC perkukuh usaha bantu Gaza

3 Okt 2025, 2:53 PM
Selangor peruntuk RM1 juta tubuh MIHC perkukuh usaha bantu Gaza
Selangor peruntuk RM1 juta tubuh MIHC perkukuh usaha bantu Gaza

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi menubuhkan Malaysian International Humanitarian Centre (MIHC) sekali gus memperkukuh misi kemanusiaan di Gaza serta bantuan bencana alam dalam negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu membolehkan MIHC bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk sokongan logistik, penyediaan kemudahan serta penglibatan sukarelawan.

“MIHC bukan sahaja menyalurkan bantuan antarabangsa, malah turut membantu ketika berlaku tanah runtuh, banjir dan pelbagai musibah di Malaysia. Dengan sumbangan ini, kita harap misi mereka lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas genap dua tahun tercetusnya isu kemanusiaan baharu di Gaza yang sehingga kini menyaksikan pembunuhan dan kehancuran berterusan oleh rejim Zionis.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak menegaskan sokongan tahunan itu membuktikan Selangor serius dalam perjuangan kemanusiaan yang merentasi sempadan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAPIM Malaysia Dato' Dr Sani Araby Al-Kahery ketika sidang media berhubung perkembangan Misi Global Sumud Flotilla di Command Centre Sumud Nusantara Mapim, Sepang pada 03 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam ada itu, Amirudin turut mengingatkan Selangor menjadi negeri pertama melancarkan tabung khas bagi pembinaan apartmen tujuh tingkat berhampiran Masjid Tangki Air Darul Ehsan di Gaza, namun projek itu ditangguhkan sementara kerana faktor keselamatan.

“Alhamdulillah saya dimaklumkan dua kenderaan kita masih ada di Gaza, ambulans musnah tetapi pacuan empat roda masih bertahan dan digunakan,” katanya.

Tambah beliau, semangat sumud rakyat Palestin yang terus tabah di sebalik kepungan dan serangan memberi inspirasi besar kepada rakyat Malaysia.

“Dengan sokongan yang kita berikan tahun ini, kita percaya apa yang mereka laksanakan bukan sahaja membuka mata dan menyentuh jiwa rakyat Malaysia tetapi juga warga dunia,” katanya.

Terdahulu beliau melawat Ibu Pejabat Global Sumud di Sepang bagi menzahirkan solidariti serta menyokong usaha berterusan pertubuhan tersebut dalam misi kemanusiaan antarabangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619