Delegasi Malaysia misi Flotilla Gaza kini berada di Menorca

4 Sep 2025, 1:08 PM
Delegasi Malaysia misi Flotilla Gaza kini berada di Menorca
Delegasi Malaysia misi Flotilla Gaza kini berada di Menorca
Delegasi Malaysia misi Flotilla Gaza kini berada di Menorca

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza kini berada di Kepulauan Menorca, Sepanyol, sementara menunggu ketibaan beberapa kapal lain yang berpatah balik berikutan masalah teknikal serta ribut yang melanda laluan mereka dua hari lepas.

Aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia) Zulfadhli Khiruddin, yang merupakan seorang daripada 15 wakil Malaysia berkata keadaan cuaca di kawasan itu kini semakin baik dan kru flotila telah menyesuaikan diri dengan rutin harian di atas kapal.

“Insya-Allah apabila kapal-kapal lain tiba di Menorca. Kami akan berkumpul dan bergerak bersama-sama ke destinasi seterusnya iaitu Tunis (ibu negara Tunisia) dan dijangka sampai dalam beberapa hari lagi,” katanya menerusi kenyataan video yang dikongsi kepada Bernama hari ini.

Zulfadhli turut memohon rakyat Malaysia untuk terus mendoakan keselamatan pasukan serta kejayaan misi flotila ke Gaza.

“Kami juga berharap masyarakat terus peduli terhadap nasib saudara-saudara kita di Palestin yang berdepan penindasan setiap hari. Doakan juga supaya misi kami ini berjaya memecah kepungan rejim Zionis dan membuka Humanitarian Corridor bagi membolehkan lebih banyak bantuan masuk ke Gaza,” katanya.

Sebanyak 24 kapal flotila berlepas dari Pelabuhan Barcelona pada Ahad lepas, membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas, disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa dari 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia.

Fasa seterusnya menyaksikan kumpulan kedua delegasi Malaysia berlepas dari sebuah pelabuhan di Itali pada 4 Sept ini, serentak dengan kumpulan ketiga yang kini berada di Tunisia.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619