NASIONAL

Mavcom denda AirAsia, AirAsia X kerana iklan harga mengelirukan

5 Dis 2018, 3:02 AM
Mavcom denda AirAsia, AirAsia X kerana iklan harga mengelirukan

KUALA LUMPUR 5 DIS: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Bhd. dan AirAsia X Bhd. yang masing-masing berjumlah RM160,000 kerana mengiklankan harga tiket penerbangan yang mengelirukan.

Dalam satu kenyatan, MAVCOM berkata, kedua-dua entiti itu telah membuat bayaran penalti penuh kepada suruhanjaya itu pada 26 Oktober dan 9 November lepas.

Menurut suruhanjaya itu, harga tiket tersebut yang diiklankan pada suku kedua tahun ini ialah tertakluk di bawah subperenggan 3(1) Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

MACPC menetapkan syarikat penerbangan hendaklah memaparkan harga muktamad atau akhir tambang penerbangan yang perlu dibayar bagi perkhidmatan pengangkutan udara yang ditawarkan atau yang diterbitkan oleh syarikat penerbangan dalam apa-apa bentuk, termasuk dalam internet.

"Harga muktamad yang diterbitkan hendaklah termasuk kesemua cukai, fi, caj, surcaj yang tidak dapat dielakkan pada masa penerbitan. AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd telah dikenakan penalti kewangan berjumlah RM160,000 bagi setiap syarikat penerbangan itu kerana telah mengiklankan harga tiket penerbangan yang memperdayakan pengguna," kata MAVCOM.

Suruhanjaya itu menjelaskan, sebagai kod perlindungan pengguna pertama khusus industri penerbangan Malaysia, MACPC memberi ketelusan selanjutnya mengenai obligasi pengendali perkhidmatan penerbangan terhadap pengguna serta panduan lebih jelas mengenai hak-hak dan kepentingan mereka sebagai penumpang penerbangan.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619