AGENDA

Air Asia: Muatan penerbangan penuh 100 peratus ke Langkawi

16 Sep 2021, 6:50 AM
Air Asia: Muatan penerbangan penuh 100 peratus ke Langkawi

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Penerbangan sulung AirAsia dari Kuala Lumpur ke Langkawi pagi ini di bawah inisiatif gelembung perjalanan merekodkan muatan penerbangan 100 peratus, menandakan lantunan semula kukuh perjalanan udara domestik.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata penerbangan tersebut - yang pertama daripada sembilan penerbangan harian yang dijadualkan dari Kuala Lumpur -- berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 9.50 pagi menggunakan pesawat Airbus A321neo.

"Selain dari Kuala Lumpur (63 penerbangan mingguan), AirAsia juga mempunyai penerbangan ke Langkawi dari Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (tujuh kali seminggu), Ipoh (tiga kali seminggu) dan Kota Bharu (tiga kali seminggu), menjadikan kesemua sekali 90 penerbangan seminggu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata lebih 200,000 tempat duduk ke Langkawi terjual dalam masa kurang daripada seminggu.

"Bagi memudahkan pergerakan ini, kami telah telah membuat persiapan menyeluruh dan melaksanakan protokol kesihatan dan keselamatan yang padu dan komprehensif bagi memastikan semua tetamu kami boleh melakukan perjalanan dengan selamat, dengan kru dan petugas barisan hadapan kami 100 peratus telah lengkap menerima vaksin.

"Selepas melakukan persediaan selama berbulan-bulan, kami bersemangat untuk menyaksikan industri kembali rancak dan bersedia untuk meningkatkan operasi kami bagi memenuhi peningkatan permintaan.

“Kami berharap lebih banyak gelembung perjalanan diwujudkan di seluruh negara tidak lama lagi sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasi dan seterusnya di seluruh rantau ini apabila telah selamat untuk berbuat demikian,” katanya.

AirAsia juga melancarkan perkhidmatan ‘ride-hailing’ di Langkawi hari ini dengan pemandu kenderaan 100 peratus telah divaksinasikan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619