AGENDA

Syarikat penerbangan tawar tiket murah untuk rentas negeri

11 Okt 2021, 4:03 AM
Syarikat penerbangan tawar tiket murah untuk rentas negeri

SHAH ALAM, 11 OKT: Syarikat-syarikat penerbangan dalam negara mula menawarkan potongan harga untuk menarik lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula hari ini.

Malaysia Airlines menawarkan tambang serendah RM59 sehala dan diskaun sehingga 50 peratus untuk pakej MHholiday manakala syarikat tambang murah AirAsia menawarkan tiket sehala dengan harga serendah RM12, lapor portal Malaysiakini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines, Izaham Ismail berkata, kebenaran perjalanan rentas negeri akan memberi perkembangan baru terhadap industri tersebut.

"Kami menerima tempahan awal yang memberangsangkan, mencerminkan keyakinan pelanggan dan permintaan yang tinggi untuk terbang bersama Malaysia Airlines.

"Kami dengan sukacita melaporkan bahawa Malaysia Airlines mencatatkan peningkatan 500 peratus dalam tempahan penerbangan kami di dalam negeri, tempahan tertinggi setelah pembukaan semula Langkawi," katanya kepada Bernama semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat juga senada dengan Izaham yang menyambut baik kebenaran merentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Katanya, kerajaan berhak mendapat penghargaan terbesar atas keberkesanan program vaksinasi kebangsaan yang kini menyaksikan kadar peratusan yang selamat untuk rentas negeri dilakukan.

"AirAsia akan terus bekerjasama dengan semua pihak yang berkenaan, kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan untuk memastikan prosedur pematuhan dijalankan untuk setiap penerbangan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain, rentas negeri, Ismail Sabri juga mengumumkan kebenaran untuk rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk aktiviti pelancongan tanpa melalui permohonan MyTravelPass dari Jabatan Imigresen, dengan syarat tertentu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619