AGENDA

Operasi LRT laluan Kelana Jaya kembali pulih - Rapid Rail

9 Jun 2025, 5:50 PM
Operasi LRT laluan Kelana Jaya kembali pulih - Rapid Rail

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mengalami kelewatan awal pagi tadi akibat gangguan suis landasan, kembali beroperasi sepenuhnya pada pukul 11.10 pagi tadi.

Rapid Rail Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan kejuruteraannya selesai menjalankan kerja-kerja baik pulih peringkat awal pada pukul 10.56 pagi sebelum ujian ke atas sistem dan komponen landasan dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan selamat untuk digunakan.

“Pasukan kejuruteraan dan operasi akan terus memantau perjalanan tren sepanjang waktu operasi bagi memastikan kelancaran perkhidmatan.

“Kerja baik pulih sepenuhnya akan dilakukan selepas operasi tamat bagi mengurangkan gangguan kepada penumpang. Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca gangguan dan mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut merakamkan penghargaan kepada semua penumpang atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang tempoh gangguan tersebut.

Terdahulu, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan bermula pukul 5.30 pagi susulan gangguan suis landasan di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Bangsar, menyebabkan tren dari arah Pasar Seni ke Bangsar menuju ke Putra Heights terpaksa dikendalikan secara manual.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619