AGENDA

Israel sekat bekalan asas di Gaza sejak 2 Mac, penduduk diancam kebuluran

12 Mei 2025, 11:27 AM
Israel sekat bekalan asas di Gaza sejak 2 Mac, penduduk diancam kebuluran

NEW YORK, 12 MEI: Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menggesa agar sekatan berterusan ke atas Semenanjung Gaza yang kini memasuki minggu kesembilan berturut-turut dihentikan, dengan memberi amaran bahawa nyawa 2.1 juta orang awam berada dalam risiko serius.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), OCHA mengesahkan bahawa stok bekalan bantuan kemanusiaan kini hampir habis apabila sekatan menyeluruh oleh Israel ke atas Gaza berlarutan memasuki bulan ketiga.

Sementara itu, Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) melaporkan bahawa bantuan dan bekalan kemanusiaan tidak lagi memasuki Gaza sejak 2 Mac, selepas pihak berkuasa Israel mengenakan kepungan.

Akibatnya, bekalan asas kemanusiaan seperti makanan, bahan api, bantuan perubatan dan vaksin kanak-kanak semakin kehabisan dengan bekalan tepung dan pek makanan UNRWA telah kehabisan manakala lebih satu pertiga daripada bekalan perubatan penting juga telah kehabisan stok.

“Keadaan ini memberi kesan yang amat dahsyat kepada penduduk, khususnya golongan rentan termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas,” kata UNRWA.

Agensi itu memberi amaran bahawa sekatan berterusan akan membawa kemudaratan yang tidak dapat dipulihkan kepada ribuan nyawa, sambil menambah bahawa ribuan trak bantuan kini bersedia untuk memasuki Gaza dan pasukannya di lapangan telah bersiap sedia untuk meningkatkan operasi sebaik sahaja akses dibenarkan.

-- BERNAMA-WAM

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619