AGENDA

Majlis Keselamatan PBB desak Israel hentikan sekatan bantuan ke Gaza di tengah amaran kebuluran

15 Mei 2025, 9:23 AM
Majlis Keselamatan PBB desak Israel hentikan sekatan bantuan ke Gaza di tengah amaran kebuluran

NEW YORK, 15 MEI: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel agar menamatkan sekatannya ke atas Gaza, menyaksikan bekalan makanan semakin berkurangan dan keadaan kemanusiaan semakin merosot, lapor Xinhua.

Dalam satu mesyuarat tergempar pada Selasa mengenai krisis kemanusiaan Gaza yang semakin buruk, Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan Tom Fletcher berkata situasi kemanusiaan di Gaza semakin parah akibat sekatan Israel yang menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan, air dan bahan perlindungan selama lebih 10 minggu.

“Kami mempunyai bekalan penting yang boleh menyelamatkan nyawa, sedia dihantar di sempadan. Kami mempunyai mekanisme ketat untuk memastikan bantuan hanya sampai kepada orang awam dan bukan kepada Hamas. Namun, Israel menafikan akses kepada kami, meletakkan matlamat mengosongkan Gaza melebihi nyawa orang awam,” katanya kepada Majlis Keselamatan.

Menurut Fletcher, kira-kira 70 peratus wilayah Gaza kini berada di bawah arahan pemindahan atau dalam zon ketenteraan Israel, menyebabkan ratusan ribu orang awam terperangkap di kawasan yang semakin mengecil tanpa keperluan asas.

“Setiap seorang daripada 2.1 juta penduduk Palestin di Semenanjung Gaza menghadapi risiko kebuluran. Satu daripada lima orang berada di ambang kebuluran,” katanya sambil memetik laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO).

Israel menyekat kemasukan barangan dan bantuan ke Gaza pada 2 Mac, selepas fasa pertama gencatan senjata pada Januari dengan Hamas berakhir. Ia menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, dengan sekurang-kurangnya 2,720 penduduk Palestin terbunuh sejak itu.

Kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza semakin meningkat susulan pengumuman Israel yang ia merancang untuk memperhebatkan kempen ketenteraannya.

Wakil Tetap China ke PBB, Fu Cong berkata hampir setengah juta penduduk Gaza kini berhadapan tahap kebuluran yang amat dahsyat.

Beliau menggesa Israel agar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menamatkan sekatan bagi membolehkan akses tanpa halangan kepada makanan, ubat-ubatan dan bekalan penting lain.

Gaza kini menjadi tempat paling berbahaya untuk pekerja kemanusiaan, dengan lebih 400 pekerja terbunuh dalam konflik semasa, kata Fu.

“China menggesa Israel agar segera menghentikan serangan ketenteraan ke atas Gaza,” tegasnya, sambil berkata yang tindakan ketenteraan tidak akan menyelesaikan konflik malah hanya memanjangkan krisis kemanusiaan.

- BERNAMA-XINHUA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619