AGENDA

Piala ASEAN: Malaysia wajib menang ke atas Singapura untuk mara separuh akhir

18 Dis 2024, 12:32 AM
Piala ASEAN: Malaysia wajib menang ke atas Singapura untuk mara separuh akhir

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Skuad bola sepak kebangsaan berdepan aksi 'hidup mati' menentang Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Ia selepas aksi Kumpulan A malam tadi menyaksikan Thailand berjaya bangkit menumpaskan Singapura 4-2 sekali gus meletakkan pasukan "War Elephat" itu di kedudukan teratas carta dengan keseluruhan sembilan mata manakala Singapura kekal enam mata di tangga kedua.

Kemboja mengisi kedudukan ketiga dengan menyamai mata Malaysia di tangga keempat manakala-Timor Leste di tangga tercorot tanpa jaringan.

Sekiranya kemenangan berpihak Malaysia pada aksi terakhir menentang Singapura kelak, ia sekali gus memberi tiga mata penuh buat skuad kendalian Pau Marti Vicente dengan keseluruhan tujuh mata sebagai naib juara peringkat Kumpulan A.

Di atas kertas, Thailand di kedudukan ke-97 dunia yang bakal menerima kunjungan Kemboja di Stadium Nasional Rajamangala bagi aksi terakhir kumpulan, dijangka tidak berdepan masalah untuk menumpaskan pasukan pelawat.

Jika Thailand menewaskan Kemboja, mereka bakal menjuarai Kumpulan A keseluruhan 12 mata sekali gus melangkah ke separuh akhir dengan selesa.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura malam tadi, menyaksikan pasukan tuan rumah menunjukkan taring dengan membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi rembatan kecang Muhammad Shawal Anuar selepas menerima hantaran Mohamad Izwan Mahbud.

Skuad Singapura di bawah kendalian Tsutomu Ogura kemudian menggandakan kedudukan menerusi Faris Ramli selepas menerima hantaran Hami Syahin pada minit ke-34 sekali gus meletakkan Singapura di hadapan Thailand 2-0.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila pasukan pelawat bangkit untuk merapatkan jurang selepas Patrik Gustavsson menyudah jaringan pertama pasukan Thailand.

Memasuki babak kedua, Thailand yang terus memperkemas serangan berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-52 hasil tandukan Suphanat Mueanta selepas mendapat bantuan Yodsangwal.

Thailand yang terus menggasak kubu tuan rumah berjaya meledak dua lagi jaringan menerusi Peeradon Chamratsamee dan Teerasak Poeiphimai masing-masing pada minit kecederaan dan keputusan kekal Thailand 4-2 Singapura hingga ke wisel penamat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619