AGENDA

Penyokong Harimau Malaya cedera selepas perlawanan Malaysia-Thailand malam tadi

15 Dis 2024, 12:13 PM
Penyokong Harimau Malaya cedera selepas perlawanan Malaysia-Thailand malam tadi

BANGKOK, 15 DIS: Seorang penyokong bola sepak Malaysia cedera selepas diserang ketika meninggalkan Stadium Nasional Rajamangala selepas perlawanan Kumpulan A Piala ASEAN 2024 antara Thailand dan Malaysia.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata penyokong yang cedera itu menerima rawatan di Hospital Samitivej Srinakarin dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata seorang pegawai daripada Kedutaan Malaysia sudah ke hospital berkenaan namun tidak dapat bertemu dengan mangsa.

"Kami dimaklumkan oleh pihak hospital yang mangsa dibenarkan keluar dan sudah pulang ke Malaysia," katanya hari ini.

Identiti penyokong Malaysia itu tidak didedahkan bagi menghormati privasi beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FA Thailand), Nualphan Lamsam berkata pasukan hal ehwal antarabangsa persatuan tersebut telah memberikan bantuan dan menanggung kos perubatan untuk memastikan kebajikan penyokong yang cedera itu ketika berada di luar negara.

"Pasukan perubatan melakukan imbasan CT secara terperinci ke atas kepala mangsa dan mencadangkan agar beliau terus dirawat semalaman untuk berunding dengan pakar ortopedik. Namun, atas permintaan untuk kembali ke Malaysia, mangsa memohon untuk pulang bagi rawatan lanjut," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata insiden tersebut diserahkan kepada pasukan keselamatan dan polis tempatan untuk siasatan lanjut.

Dalam perlawanan Kumpulan A malam tadi, Thailand menewaskan Malaysia 1-0 menerusi gol tunggal oleh penyerang Thailand, Patrik Gustavsson, pada minit ke-57.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619