AGENDA

Harimau Malaya berdepan cabaran getir di Bangkok

14 Dis 2024, 1:11 AM
Harimau Malaya berdepan cabaran getir di Bangkok

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Ketua jurulatih Harimau Malaya Pau Marti Vicente mengakui skuad negara berdepan cabaran getir dan bersedia menghadapi segala kemungkinan apabila menentang juara bertahan Thailand pada aksi Piala ASEAN 2024 di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini.

Meskipun kehilangan beberapa tonggak utama, beliau yakin terdapat pemain lain yang mampu mengisi posisi berkenaan mengikut strategi dirancang.

“Kita kehilangan beberapa pemain penting, tetapi pasukan ini bukan hanya melibatkan mereka, sebaliknya 26 pemain secara keseluruhan. Beraksi dalam kejohanan rasmi dan menentang pasukan yang kuat adalah satu motivasi besar buat kami," katanya pada sidang media praperlawanan di Bangkok semalam.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengakui bahawa tidak banyak yang boleh diubah memandangkan masa persiapan terhad, namun menegaskan pemain bersedia memberikan sepenuh jiwa di atas padang.

Harimau Malaya agak tempang apabila beberapa pemain utama Sabah FC seperti Dominic Tan, Stuart Wilkin, Darren Lok dan Daniel Ting terpaksa pulang bagi membantu pasukan mereka dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Kuching City FC Ahad ini.

Keadaan bertambah buruk apabila penyerang dan penjaring gol pertama menentang Timor Leste, Syafiq Ahmad turut disahkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan buku lali.

Selepas bertemu Gajah Perang, skuad negara akan melayan kunjungan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember ini.

Setakat ini, Harimau Malaya mendahului Kumpulan A dengan empat mata selepas kemenangan 3-2 ke atas Timor Leste dan keputusan seri 2-2 menentang Kemboja.

Thailand dan Singapura masing-masing mengumpul tiga mata selepas satu perlawanan manakala Kemboja memiliki satu mata daripada dua perlawanan.

Timor Leste pula berada di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619