AGENDA

Mantan pegawai Jais Dr Sirajuddin Suhaimee dilantik Ketua Pengarah Jakim

1 Okt 2024, 7:28 AM
Mantan pegawai Jais Dr Sirajuddin Suhaimee dilantik Ketua Pengarah Jakim

PUTRAJAYA, 1 OKT: Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilantik Ketua Pengarah Jakim yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan berkata pelantikan Sirajuddin, 57, merupakan satu daripada usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam seiring dengan agenda reformasi perkhidmatan awam dan memperkukuhkan Jakim sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di Malaysia.

Beliau berkata Sirajuddin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah (Dakwah) di Jabatan Agama Islam Selangor pada 2 Januari 1992.

Sirajuddin yang juga lulusan Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi MARA dan Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer) dari University of South Australia itu pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jakim, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim serta Setiausaha Pertama (Halal) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia.

Pada masa sama, Shamsul Azri turut mengumumkan pelantikan Ketua Pengarah Jakim terdahulu, Datuk Hakimah Mohd Yusoff sebagai Penyelaras Hal Ehwal Agama yang melibatkan koordinasi antara Jakim, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata pelantikan Hakimah yang pernah melakar sejarah wanita pertama dilantik Ketua Pengarah Jakim itu bertujuan memangkin pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia.

“Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu Jakim ke arah mengangkat kemuliaan agama Islam dan memartabatkan Jakim sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat persekutuan yang komprehensif serta berdaya saing di persada global,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619