AGENDA

Pegawai terlibat tiris belanja kerajaan berdepan tindakan tegas

26 Ogos 2020, 11:52 AM
Pegawai terlibat tiris belanja kerajaan berdepan tindakan tegas

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Pegawai yang terlibat dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan tidak akan terlepas daripada tindakan tegas termasuk ditamatkan perkhidmatan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Jawatankuasa Siasatan akan melihat semula Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 yang dikeluarkan Isnin lepas untuk mendalami laporan itu bagi memastikan pegawai yang bertanggungjawab ke atas isu-isu yang dibangkitkan.

"Selepas itu, perkara tersebut akan dibangkitkan dalam Jawatankuasa Tindakan Tatatertib untuk menentukan tindakan sama ada disabitkan atau dilepaskan," katanya ketika ditemui media selepas program KSN@Merdeka bersama penjawat awam sempena sambutan Bulan Kebangsaan, yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali di Dataran Putra di sini hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata LKAN mempunyai satu panduan bagi JPA untuk menubuhkan Jawatankuasa Siasatan untuk meneliti laporan itu dan memanggil pegawai terlibat untuk menjalankan siasatan.

"Tiada yang akan terlepas semua yang dibangkitkan akan diteliti dengan mendalam melalui Jawatankuasa Siasatan dalaman yang ditubuhkan di kementerian masing-masing," katanya.

"Ada pegawai yang ditamatkan perkhidmatan dan diambil tindakan tegas bergantung kepada keseriusan penglibatan pegawai dalam isu-isu yang dibangkitkan oleh LKAN," katanya lagi.

LKAN 2019 yang dibentangkan Isnin lepas mendedahkan tiga jabatan kerajaan gagal memastikan pematuhan terhadap syarat kontrak dalam perolehan secara sebut harga.

Menurut laporan itu, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Penjara Malaysia dan politeknik didapati gagal memastikan pematuhan itu merangkumi spesifikasi dan syarat kontrak, kontrak rasmi dan pembayaran.

Ditanya berapa lama siasatan akan dijalankan, Mohd Khairul Adib berkata ia bergantung kepada kes yang mungkin melibatkan ramai pegawai dan negeri serta peluang diberikan kepada pegawai untuk mengemukakan hujah balas sebelum diambil tindakan.

Beliau berkata setiausaha bahagian sumber manusia di kementerian masing-masing akan diberi jangka masa untuk membuat laporan yang kemudiannya akan dibentangkan di Lembaga Tatatertib yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.

"Ada kalanya pegawai tersebut dah bersara, kalau ada tindakan tatatertib, kami akan tahan persaraan dia selagi kes belum diselesaikan. Sekiranya sabit (kesalahan) maka hilanglah segala faedah-faedah persaraan dia," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619