AGENDA

FAM bentang struktur organisasi Harimau Malaya kepada PM

3 Sep 2024, 8:50 AM
FAM bentang struktur organisasi Harimau Malaya kepada PM

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berjanji untuk membentangkan struktur organisasi pengurusan skuad Harimau Malaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata ia bagi merealisasikan usaha bersama badan induk bola sepak negara dan Perdana Menteri, untuk mengangkat pasukan bola sepak kebangsaan menjadi pasukan gergasi di rantau Asia.

Hamidin, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif serta seluruh warga FAM, turut menzahirkan terima kasih kepada Anwar atas pengumuman peruntukan RM15 juta bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya.

“Sudah tentu FAM sangat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen Datuk Seri Anwar dalam memberikan peruntukan tersebut, selain beliau sendiri menyatakan secara peribadi untuk memantau dan membantu dalam usaha memperkukuhkan skuad Harimau Malaya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu ketika Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan, Anwar mengumumkan RM10 juta peruntukan kerajaan melalui Kementerian Kewangan, manakala RM5 juta komitmen pihak swasta untuk memperkukuhkan skuad Harimau Malaya.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu juga bagi memastikan Harimau Malaya, dapat menjamin kebajikan pemainnya serta menggajikan barisan pengurus dan jurulatih terbaik.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619