AGENDA

Kejohanan Badminton Asia: Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin mara suku akhir

11 Apr 2024, 10:45 AM
Kejohanan Badminton Asia: Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin mara suku akhir

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Dua beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China.

Pada perlawanan pusingan kedua hari ini, Aaron-Wooi Yik pasangan pilihan keempat kejohanan layak ke suku akhir, selepas mengalahkan pasangan bukan pilihan dari Jepun Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura, 21-18, 14-21, 21-14, dalam pertarungan 61 minit, pada kejohanan berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo.

Keputusan itu menyaksikan pasangan Aaron-Wooi Yik, menang kali kedua ke atas pasangan Jepun itu, selepas kemenangan 21-10, 21-14, pada pusingan kedua Tebuka India 2024.

Perlawanan suku akhir esok menyaksikan Aaron-Wooi Yik akan berhadapan pasangan tuan rumah dan pilihan ketujuh kejohanan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, yang menewaskan pasangan Korea Selatan Kim Young Hyuk-Wang Chan, 21-16, 22-20, dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Sementara itu Sze Fei-Nur Izzuddin pula tidak berhadapan banyak masalah untuk layak ke suku akhir selepas menewaskan pasangan China He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang menang set pertama 21-11, mengesahkan layak ke suku akhir selepas Ji Ting-Xiang Yu menarik diri pada perlawanan kedua.

Menurut ciapan dalam akaun X Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pasangan ke-19 dunia itu layak ke pusingan seterusnya, selepas lawan mereka menarik diri akibat kecederaan.

Juara Terbuka Jerman 2022 itu, akan berhadapan Juara Olimpik Lee Yang-Wang Chi-Lin selepas pasangan Taiwan itu mengatasi pasangan dari Thailand Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren, 21-11, 21-14.

Bagaimanapun cabaran satu lagi pasangan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun terkandas, selepas mereka tewas 18-21, 17-21, kepada satu lagi pasangan Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan.

Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Nur Izzuddin akan menyertai pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia, yang juga layak ke suku akhir selepas mengalahkan pemain Taiwan Chou Tien Chen, 21-15, 21-17.

Zii Jia akan berhadapan Jonatan Christie, esok selepas pemain dari Indonesia itu mengalahkan pemain Hong Kong Lee Cheuk Yiu, 21-14, 21-16.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619