AGENDA

Menteri: Henti spekulasi isu data Perkeso digodam, beri ruang lengkapkan siasatan

10 Dis 2023, 3:23 PM
Menteri: Henti spekulasi isu data Perkeso digodam, beri ruang lengkapkan siasatan

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar meminta semua pihak memberi ruang kepada pasukan siasatan forensik dalaman untuk melengkapkan siasatan berkaitan kes serangan siber yang menyasarkan infrastruktur dan imej Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sivakumar, dalam kenyataan malam ini, memaklumkan kementerian berkenaan berharap spekulasi tidak berasas yang ditularkan di media sosial sebelum ini dapat dihentikan kerana ia bukan hanya mengeruhkan keadaan malah berupaya mengundang ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.

“Ini bagi membolehkan matlamat utama penubuhan Perkeso sebagai agensi yang memberikan khidmat perlindungan sosial tidak terjejas rentetan pencerobohan siber ini.

“Kementerian sekali lagi memberi jaminan, tiada pihak yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati menjadi dalang kepada insiden pada 2 Dis lalu,” katanya yang turut memaklumkan serangan siber itu berjaya dipatahkan dengan usaha pemulihan serta mitigasi ketika ini giat dilaksanakan.

Sivakumar berkata kementerian juga telah mengumpul bukti-bukti forensik sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya bagi menyekat gerakan anasir penggodam berterusan.

Proses itu termasuk meneliti kemungkinan wujud elemen jenayah komersil yang membawa kepada gangguan sistem, pangkalan data dan laman sesawang agensi seliaan kementerian.

Pada Jumaat lalu, Perkeso memberi jaminan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang agensi itu yang diserang penggodam sejak Sabtu lepas tidak akan merencatkan khidmat kepada pencarum, majikan serta orang ramai.

Pertubuhan itu memaklumkan segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terlibat akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh yang diperuntukkan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619