AGENDA

PM: Amir Hamzah, Johari jalankan tugas sementara sehingga lantikan menteri baharu

11 Jul 2025, 9:22 AM
PM: Amir Hamzah, Johari jalankan tugas sementara sehingga lantikan menteri baharu

PUTRAJAYA, 11 JULAI: Keputusan memilih Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk menjalankan sementara tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam manakala Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula sebagai Menteri Ekonomi bukan disebabkan kerajaan ketandusan calon pengganti.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak ketandusan calon pengganti, sebaliknya pelantikan tetap perlu dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Tak payah terburu-buru. Ada orang cakap, tidak ada orangkah kita (kerajaan) nak lantik sampai kena ambil pemangku. Itu tak betul.

“Mereka (Amir Hamzah dan Johari) hanya menjalankan tugas portfolio masing-masing buat sementara waktu sehingga pelantikan baharu dibuat. Kalau ada ahli parlimen pembangkang yang tak faham, susahlah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta semua pihak agar memberi ruang kepada kedua-dua pemangku menteri itu untuk melaksanakan amanah dengan sebaiknya tanpa sebarang gangguan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa Amir Hamzah dan Johari masing-masing diberikan tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkuat kuasa 4 Julai.

Sementara itu, pada 27 Jun, Shamsul Azri mengumumkan bahawa Amir Hamzah diberi tanggungjawab sebagai pemangku Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli berkuat kuasa 17 Jun 2025.

Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti yang diadakan Mei lalu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619