AGENDA

Menteri: Program setahun kerajaan Madani akan diperluas ke seluruh negara

7 Dis 2023, 3:48 AM
Menteri: Program setahun kerajaan Madani akan diperluas ke seluruh negara

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memperluaskan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan Madani ke setiap daerah di seluruh negara.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata ia kerana program itu merupakan platform terbaik bagi rakyat untuk menyaksikan dan memahami segala pelaksanaan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh setahun pentadbiran.

Beliau berkata Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang bermula esok hingga Ahad ini di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil mungkin hanya berkesempatan dihadiri warga Lembah Klang dan masyarakat di kawasan berhampiran sahaja.

"Mungkin luar Kuala Lumpur agak jauh, jadi saya dah minta Jabatan Penerangan untuk adakan satu program seumpamanya dalam skala yang lebih kecil di setiap daerah di seluruh negara," katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV3 hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang julung kali diadakan, Fahmi berkata ia akan melibatkan penyertaan semua kementerian di dalam Kerajaan Perpaduan, agensi selain syarikat berkaitan kerajaan.

"Di reruai KKD ada keistimewaan sendiri dan kita akan fokus pada aspek ekonomi digital yang penting dalam pertumbuhan ekonomi negara kini, selain itu juga akan kita sentuh soal literasi digital antaranya pemahaman awam tentang keselamatan data, mengelakkan penipuan scammer dan transaksi selamat.

Selain itu, katanya program itu juga akan melibatkan program seperti jualan Mega Madani, jualan Rahmah, cabutan bertuah, kaunter diskaun saman (polis) serta karnival kerjaya,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata program itu bukanlah keramaian semata-mata, tetapi untuk melaporkan kepada rakyat apa yang sudah dilakukan selain mendapat manfaat daripada perkhidmatan setiap kementerian.

Penganjuran program yang bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat, serta disasar mampu menarik kehadiran sehingga 200,000 pengunjung.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619