AGENDA

Pengamal media nanti pengumuman penting PM perasmian Hari Wartawan Nasional 2023

28 Mei 2023, 12:58 AM
Pengamal media nanti pengumuman penting PM perasmian Hari Wartawan Nasional 2023
Pengamal media nanti pengumuman penting PM perasmian Hari Wartawan Nasional 2023

IPOH, 28 MEI: Hari yang dinanti-nantikan kira-kira 1,000 pengamal media yang berkampung di sini bermula Jumaat lalu sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, kini tiba dengan tumpuan semestinya kepada ucapan perasmian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang ini.

Pastinya ia detik yang dinantikan seluruh pengamal media di negara ini lebih-lebih lagi selepas Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil semalam mengesahkan Perdana Menteri akan membuat beberapa pengumuman penting berkenaan hala tuju industri media.

Anwar pada majlis sambutan hari ini juga akan menyampaikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga penerima terdiri daripada wartawan veteran yang menghadapi masalah daripada aspek kesihatan dan kesukaran hidup.

Sebelum acara kemuncak pada sebelah petang, antara tumpuan HAWANA 2023 yang bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” pada sebelah pagi hari ini semestinya forum media anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

Forum bertemakan “Masa Depan Media” itu akan dirasmikan Fahmi dan dijangka disertai kira-kira 150 peserta merangkumi wartawan, koresponden dan ahli akademik dari Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, China, Jepun, Kuwait selain Malaysia.

[caption id="attachment_583774" align="aligncenter" width="789"] Antara pengamal media yang menyertai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh pada 27 Mei 2023. Foto Facebook Kementerian Komunikasi dan Digital[/caption]

Sambutan HAWANA 2023 membuka tirai semalam dengan pelepasan “Media Hunt HAWANA”, iaitu pertandingan mencari harta karun bermula dari Wisma Bernama di Kuala Lumpur ke Ipoh melibatkan kira-kira 120 peserta dengan hampir 40 kenderaan yang disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Ni Ching.

Karnival Mini HAWANA 2023 diteruskan hari ini yang menawarkan pelbagai acara menarik kepada pengunjung dengan aktiviti seperti slot interaksi bersama personaliti Bernama, sesi ‘pocket talk’ ‘sayadigital’ serta sesi temu mesra bersama artis dan selebriti tempatan.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Sambutan HAWANA 2023 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital dengan pelaksanaannya dikendalikan Bernama.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619