AGENDA

Kemenangan BN di Pelangai bukti keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan

7 Okt 2023, 2:00 PM
Kemenangan BN di Pelangai bukti keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan
Kemenangan BN di Pelangai bukti keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan

SHAH ALAM, 7 OKT: Kemenangan calon Barisan Nasional Datuk Amizar Abu Adam dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai disifatkan sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Pakatan Harapan Pahang Dato' Seri Amirudin Shari turut berterima kasih kepada seluruh pasukan petugas pilihan raya dan keselamatan dalam memastikan proses berkempen hingga hari pemilihan berjalan lancar.

"Alhamdulillah warga Pelangai memberi sokongan begitu hebat kepada calon Kerajaan Perpaduan Datuk Amizar Abu Adam yang dipilih sebagai wakil rakyat dalam PRK yang berlangsung hari ini.

"Ini adalah pengiktirafan bahawa rakyat semakin yakin dengan Kerajaan Perpaduan sebagai wadah terbaik untuk memajukan dan memakmurkan negara kita Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Amizar memperoleh 7,324 undi sekali gus menang dalam PRK DUN Pelangai hari ini dengan majoriti 2,949 undi menewaskan calon Perikatan Nasional Kasim Samat (4,375) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni (47).

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara dengan peratusan pengundi adalah 72.12 peratus.

Kemenangan Amizar, 53, yang merupakan anak jati Felda Chemomoi sekali gus memastikan DUN Pelangai yang terletak kira-kira 200 km dari Kuantan, kekal sebagai kubu kuat BN di Pahang sejak tahun 1986.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619