AGENDA

Selangor usaha bendung penyakit tidak berjangkit, elak jejas kualiti hidup rakyat

7 Jun 2022, 1:00 PM
Selangor usaha bendung penyakit tidak berjangkit, elak jejas kualiti hidup rakyat

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan Selangor menumpukan usaha membendung masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat susulan peralihan ke fasa endemik.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata NCD dibimbangi memberi kesan buruk terhadap kualiti kehidupan rakyat selain meningkatkan beban ekonomi negara.

Katanya, program Selangor Saring yang sedang dilaksanakan ketika ini tepat pada masanya bagi memberi peluang kepada penduduk mengesan lebih awal NCD.

“Pasca Covid-19 menunjukkan kita perlu mengambil perhatian serius terhadap perkara ini. Sebab itu kita melaksanakan program ini bagi melengkapi ekosistem sedia ada yang disediakan Kementerian Kesihatan.

“Rakyat boleh buat saringan kesihatan percuma dan kesan NCD lebih awal seterusnya mendapat rawatan sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk sembuh,” katanya berucap pada pelancaran Majlis Penasihat Kesihatan Awam Selangor (Selphac) di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selain dihadiri mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Siti Mariah berkata sebanyak 70 peratus kematian di peringkat global berpunca daripada NCD dengan 67 daripadanya berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau turut memaklumkan NCD dijangka menyumbang kerugian kepada ekonomi dunia sebanyak USD47 trilion dalam tempoh lapan tahun akan datang.

“Di Malaysia, beban kewangan yang terpaksa ditanggung kerajaan dalam menampung kos rawatan pesakit NCD ini berjumlah hampir RM8.9 billion.

“Malah kos tidak ketara atau hilang upaya dan kehilangan tahun hidup sihat dianggar RM100.79 bilion bersamaan 7.35 peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar),” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619