AGENDA

Covid-19: 0.51 peratus kes baharu babit kategori 3 hingga 5

26 Feb 2022, 5:02 AM
Covid-19: 0.51 peratus kes baharu babit kategori 3 hingga 5

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Sebanyak 156 kes atau 0.51 peratus daripada 30,644 kes baharu dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 30,488 kes atau 99.49 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua, pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,367,871 kes.

“Daripada 156 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan; 33 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi; 77 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata pada 25 Februari (semalam), kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,677 kes dan daripada jumlah itu, 589 kes (35.1 peratus) adalah kategori tiga, empat, dan lima; manakala baki 1,088 kes (64.9 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

Mengenai jumlah kes sembuh, sebanyak 22,678 kes dilaporkan menjadikan kumulatif kes sembuh 3,040,850.

Mengenai penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 di hospital, Dr Noor Hisham berkata tujuh negeri menunjukkan peratusan pengisian 50 peratus atau lebih iaitu Kelantan (92 peratus), Johor (61), Perlis (55), Perak (53) dan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Melaka masing-masing mencatatkan 50 peratus.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan ICU.

Mengenai perbezaan data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes Covid-19 kategori satu hingga lima yang baru didiagnosis setiap hari, beliau memaklumkan perkara itu disebabkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik iaitu mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

“Misalnya, semasa didiagnosa, mungkin pesakit tersebut berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital.

“Pada masa sama, terdapat juga kes-kes Covid-19 berisiko tinggi daripada kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619