Bazar Ramadan Rahmah diperluas ke 116 lokasi seluruh negara

20 Feb 2026, 1:30 PM
Bazar Ramadan Rahmah diperluas ke 116 lokasi seluruh negara

JOHOR BAHRU, 20 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) ke 116 lokasi di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata inisiatif itu kesinambungan usaha kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat sepanjang Ramadan.

Beliau berkata BRR menyediakan juadah berharga RM5 dan ke bawah dengan penyertaan kira-kira 3,000 peniaga.

“Kita bermula pada 2023 dengan 41 BRR dan seterusnya (meningkat) 62 dan 103 serta bertambah kepada 116 BRR di seluruh negara tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran BRR Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini hari ini.

Fuziah menggalakkan peniaga memperbanyak juadah merangkumi pelbagai kategori makanan bagi memastikan setiap lapisan pengunjung mempunyai akses kepada pilihan juadah pada harga mampu beli.

Dalam pada itu, Fuziah berkata 69,040.7 kilogram (kg) lebihan makanan bernilai RM833,722 diselamatkan di BRR pada tahun lalu menerusi inisiatif MySaveFood yang kini dijenamakan sebagai Ihsan Food Bank (i-FB).

Langkah itu sekali gus mengelakkan pelepasan lebih 129,020 kg gas rumah hijau ke atmosfera.

Beliau berkata inisiatif bermula pada 2023 itu dilaksanakan bagi menyelamatkan lebihan makanan di bazar Ramadan dengan mengagihkannya kepada golongan memerlukan melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan, pertubuhan sukarelawan dan komuniti setempat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619