445 masjid Selangor digalak libatkan pelajar tahfiz jadi imam Solat Tarawih

13 Feb 2026, 9:00 AM
445 masjid Selangor digalak libatkan pelajar tahfiz jadi imam Solat Tarawih

SHAH ALAM, 13 FEB: Semua 445 masjid di Selangor digalakkan menggunakan khidmat pelajar sekolah tahfiz sekitar negeri ini bagi memimpin Solat Tarawih sepanjang Ramadan.

EXCO Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah berkata langkah berkenaan memberi peluang kepada pelajar tahfiz untuk menimba pengalaman sebagai seorang imam.

“Langkah ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar tahfiz untuk berkhidmat di peringkat komuniti.

“Tahun ini kita tetapkan Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat di semua masjid. Sesi tazkirah boleh diadakan sebelum solat Isyak atau sebelum Zuhur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Taklimat Persediaan Pengimarahan Ramadan Masjid Seluruh Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fahmi berkata pihaknya memberi amaran keras kepada pengurusan masjid yang memanggil penceramah tidak bertauliah atau salah guna tauliah bagi aktiviti pengimarahan.

Katanya mana-mana pengurusan masjid didapati melanggar ketetapan itu berdepan hukuman tegas selain lesen penceramah terbabit boleh digantung .

“Mana-mana individu yang hendak memberi kuliah atau tazkirah di masjid mesti memiliki tauliah yang sah dan tauliah itu dibekalkan mengikut kelas masing-masing. Jika tauliah hanya untuk mengajar al-Quran, maka ia hanya terhad kepada al-Quran.

“Sekiranya berlaku aduan dan siasatan mendapati terdapat salah guna tauliah, kebenaran itu boleh digantung terlebih dahulu dan seterusnya ditarik balik bergantung kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619