AGENDA

Rakyat Palestin solat tarawih di celah runtuhan masjid

1 Mac 2025, 4:40 AM
Rakyat Palestin solat tarawih di celah runtuhan masjid

GAZA CITY, 1 MAC: Rakyat Palestin menunaikan solat tarawih pertama di Semenanjung Gaza di celah runtuhan masjid pada Jumaat malam, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Penduduk Palestin menghamparkan permaidani dan tikar di sebelah runtuhan masjid yang musnah untuk menunaikan solat tarawih.

Solat sunat itu turut dilaksanakan di Masjid Agung Omari, masjid terbesar dan tertua di Gaza.

Menara masjid berusia 1,400 tahun itu telah dimusnahkan, manakala sebahagian besar strukturnya mengalami kerosakan teruk akibat serangan tentera Israel.

"Hari ini, kami mendirikan solat tarawih pertama di celah runtuhan masjid.

"Di sebalik timbunan puing ini, kami menunaikan ibadah, berdoa kepada Allah agar menerima amalan kami," kata Bilal Al-Lahham, seorang imam di Gaza City.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza minggu lalu melaporkan bahawa daripada 1,244 masjid di seluruh Gaza, sebanyak 1,109 musnah sepenuhnya atau mengalami kerosakan teruk akibat serangan tentera.

Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah berkuat kuasa sejak bulan lalu, menghentikan sementara perang yang memusnahkan Gaza dan mengorbankan lebih 48,360 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan ketenteraannya di wilayah itu.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619