SKMM tumpaskan sindiket Stesen Pangkalan Palsu di Johor Bahru, cegah risiko penipuan

10 Feb 2026, 11:40 AM
SKMM tumpaskan sindiket Stesen Pangkalan Palsu di Johor Bahru, cegah risiko penipuan

SHAH ALAM, 12 FEB: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menumpaskan operasi sindiket Stesen Pangkalan Palsu (Fake BTS) di Bukit Chagar, Johor Bahru, sekali gus menghalang risiko penipuan terhadap pengguna.

Menurut agensi itu, operasi bersepadu dilaksanakan susulan maklumat risikan dan pemantauan teknikal serta analisis rangkaian yang mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran SMS palsu kepada orang ramai.

"Dalam operasi hari ini, pihak penguatkuasa bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengenal pasti seorang individu dan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS.

"Pemeriksaan mendapati peranti komunikasi yang digunakan tidak diperakui, mampu memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu terus kepada peranti pengguna di sekeliling," menurut kenyataan SKMM.

Maklumat juga mendedahkan individu terbabit direkrut melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian, satu strategi sindiket bagi meluaskan operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka. Penemuan ini mengesahkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan kawasan tumpuan awam, meningkatkan risiko penipuan dan menjejaskan integriti sistem telekomunikasi negara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, dengan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara 10 tahun bagi Seksyen 239, serta denda maksimum RM300,000 atau penjara tiga tahun bagi Peraturan 16, atau kedua-duanya sekali.

SKMM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan rangkaian komunikasi, selain usaha pemantauan teknikal dan penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi memastikan keselamatan, kebolehpercayaan rangkaian dan perlindungan pengguna.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619