Ibu, ibu saudara ditahan bantu siasatan budak lemas di kolam air panas

2 Feb 2026, 12:53 PM
Ibu, ibu saudara ditahan bantu siasatan budak lemas di kolam air panas

ALOR GAJAH, 2 FEB: Ibu dan ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang lemas di sebuah kolam air panas di sini malam tadi, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata kedua-dua wanita yang masing-masing berusia 27 dan 22 tahun ditahan hari ini untuk tujuan rakaman percakapan.

"Dua beradik itu dipercayai berada di tempat kejadian dan akan dilepaskan petang ini dengan jaminan polis bagi memberi ruang kepada keluarga menguruskan jenazah kanak-kanak berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Ahmad berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam, mangsa yang datang bersama keluarganya dari Felda Keratong, Pahang, ditemui orang awam dalam keadaan terapung di kolam dewasa.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.24 malam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619