Malaysia optimis Speedy Tigers layak ke Piala Dunia Hoki Lelaki 2026

31 Jan 2026, 8:54 AM
Malaysia optimis Speedy Tigers layak ke Piala Dunia Hoki Lelaki 2026

PUTRAJAYA, 31 JAN: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) optimis skuad hoki lelaki negara mampu menempah slot ke Piala Dunia Lelaki 2026 di Belanda yang akan berlangsung pada Ogos ini.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata jurulatih skuad negara Sarjit Singh telah mempersiapkan skuad Speedy Tigers untuk memberikan tentangan sengit pada aksi Kejohanan Kelayakan Piala Dunia Lelaki 2026 di Ismailia, Mesir dari 1-7 Mac ini.

Beliau berkata pasukan Speedy Tigers turut menampilkan kesungguhan, sekali gus memberikan kepercayaan kepadanya untuk mempamerkan prestasi berbeza berbanding sebelum ini.

"Insya-Allah, saya tidak pernah tidak yakin dengan jurulatih. Mereka berusaha dengan gigih dan memang jurulatih Sarjit ada perancangan beliau tersendiri … saya selalu berfikiran positif.

"Kita hanya merancang, namun saya cukup yakin bahawa jurulatih Sarjit dengan pemain-pemain akan beri yang terbaik untuk mereka layak ke Piala Dunia," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan KHM ke-21 di Menara PERKESO, di sini hari ini.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B dan akan membuka tirai menentang Austria pada 1 Mac, diikuti Pakistan (2 Mac) sebelum menutup aksi terakhir menentang China (4 Mac) di Ismailia.

Malaysia berada di kedudukan tertinggi, iaitu ke-13 dunia, diikuti Pakistan (ke-14 dunia), Austria (ke-21 dunia) dan China (ke-23 dunia).

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menyertai Piala Dunia adalah pada 2023 dan menamatkan kejohanan di tempat ke-13 daripada 15 pasukan.

Mengulas tentang AGM hari ini, Subahan berkata badan induk itu bercadang untuk menambah program akar umbi, terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi mencungkil bakat baharu di negeri berkenaan.

"Ada beberapa perkara yang telah diajukan oleh pihak negeri, dari segi pembangunan kita akan bincang dengan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) di bawah Majlis Sukan Negara, kita akan cuba lebih banyak program akar umbi," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619