KUALA LUMPUR, 19 MAC: Skuad hoki lelaki negara diundi dalam kumpulan maut apabila dijadual berdepan juara bertahan Jerman dalam saingan Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026 yang akan berlangsung di Belgium dan Belanda pada 14 hingga 30 Ogos depan.
Berdasarkan undian dijalankan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), anak buah kendalian Sarjit Singh itu juga akan bertemu Belgium yang merupakan naib juara edisi lepas selain berdepan Perancis yang kini berada di kedudukan ke-10 dunia.
Undian tersebut menyaksikan pasukan Speedy Tigers berdepan cabaran getir untuk mara ke pusingan kedua apabila hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke pusingan berkenaan.
Malaysia kini berada di kedudukan ke-15 dunia manakala Belgium merupakan pasukan kedua terbaik dunia selain pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020 di Jepun, manakala Jerman menduduki ranking keenam.
Sementara itu, dua skuad gergasi Asia, India dan Pakistan yang diundi dalam Kumpulan D akan berdepan cabaran pasukan keempat dunia, England dan Wales.
Kumpulan A pula menyaksikan Jepun akan mengharungi cabaran pasukan nombor satu dunia dan tuan rumah bersama, Belanda, Argentina dan New Zealand.
Saingan Kumpulan C bakal menyaksikan pasukan gergasi dunia, Australia dicabar Sepanyol, Ireland dan Afrika Selatan.
Malaysia mengesahkan slot ke Piala Dunia Hoki 2026 meskipun menamatkan kempen kelayakan di tempat keempat.
Skuad negara layak apabila ranking dunia semasa menyaksikan Malaysia di tangga ke-15, mengatasi Wales di tangga ke-16 dan Poland di tangga ke-20 yang beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat dalam satu lagi pusingan kelayakan.
Untuk layak ke Piala Dunia 2026, pasukan di tempat ketiga aksi kelayakan akan memperoleh tiket automatik manakala pasukan yang berada di tempat keempat turut akan layak berdasarkan ranking pasukan yang lebih tinggi.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad hoki negara dalam kejohanan paling berprestij itu adalah di tempat keempat ketika menjadi tuan rumah pada 1975.
-- BERNAMA








